gliter

Wednesday 7 October 2015

Kali ini mari kami kongsikan 7 Tip Berjimat Tahun 2015 untuk meningkatkan atau memperbaiki aliran tunai kewangan peribadi anda. Ia tidak lebih sekadar satu senarai cadangan. Mungkin menjadi untuk sesetengah orang, mungkin lebih menjadi pula untuk sesetengah yang lain.
Sebelum ke senarai itu, perlu diingatkan tujuan utama kita meningkatkan aliran tunai kewangan peribadi ini ialah untuk mendorong lebihan tunai.
Tabung Simpanan
Lebihan tunai akan membawa kepada tambahan tunai untuk simpanan. Sama ada untuk simpanan jangka masa panjang atau simpanan untuk perbelanjaan khas. Anda tentukan! Yang penting akhirnya, anda bebas kewangan!
Ingat, lebih tunai untuk disimpan! Fokus. Ayuh kita mula.

1. Pakai pelampung sendiri dahulu

Selamatkan diri sendiri dahulu. Ya, dapat sahaja gaji atau dapat duit, simpan untuk diri sendiri dahulu. Ingat, tidak ada orang lain yang akan menyimpan untuk diri anda. Simpan sekurang-kurang 10% dari jumlah itu. Simpan terus, noktah!
Maksudnya jika pendapatan anda RM2000, simpan RM200. Begitulah kiraannya.
Mahu lebih cepat? Tambahkan angin pelampung itu! Mungkin simpan 20% hingga 30%! Jika pendapatan anda RM2000, simpan RM400 hingga RM600. Percayalah, anda boleh hidup dengan baki RM1400 itu, jika anda mahu!
Simpanlah dana itu di akaun berbeza dari akaun perbelanjaan biasa, seperti akaun Tabung Haji. Jika anda menyimpan setiap bulan RM200, dalam tempoh 12 bulan anda akan ada RM2400.
Sama ada untuk simpanan jangka masa panjang atau simpanan untuk perbelanjaan khas, anda sudah setapak ke hadapan! Selamatkan diri mu dahulu! Tahniah!

2. Senaraikan semua

Ya, semua. Senaraikan apa yang mahu dibeli. Senaraikan apa yang mahu disimpan. Senaraikan apa yang perlu disumbang. Senaraikan apa yang tidak perlu. Senaraikan sahaja.
Ketika awal tahun seperti ini, senaraikan semua belanja untuk anak pertama, anak kedua, anak ketiga. Senaraikan semua belanja yang perlu, semua tanpa ada yang tertinggal.
Jika mahu berkahwin tahun 2015 ini, senaraikan semua belanja yang perlu, semua tanpa ada yang tertinggal. Jika mahu masuk rumah sendiri tahun 2015 ini, senaraikan semua belanja yang perlu, semua tanpa ada yang tertinggal.
Musuh utama aliran tunai ialah pembelian tidak terancang. Boleh lenyap begitu sahaja pendapatan sebulan, jika semua di kepala mahu dibeli. Dengan senarai itu, kita akan fokus kepada apa yang perlu dari apa yang mahu! Capai dan laksanakan satu demi satu.

 3. Beli di pasar basah

Begini, RM50++ didapati cukup jika membeli barangan asas di pasar basah atau kedai runcit biasa. Lebih-lebih lagi untuk keluarga kecil berempat hingga berlima. Cukup keperluan seminggu.
Senarai beli belah
Namun, RM200 belum tentu mencukupi jika berbelanja di pasaraya besar. Mana lagi barang dapur, barang itu, barang ini, makan-minum, majalah, mainan dan lain-lain lagi.
Desakan berbelanja lebih akan berlaku semasa di pasaraya besar. Sebaliknya desakan untuk berjimat lebih akan berlaku jika anda berbelanja di pasar basah dan di kedai runcit. Percaya lah!
Selain lebih sihat dan segar, anda boleh ada lebihan tunai. Belilah di pasar basah! Anda akan rasai segera kesannya!

4. Masak sendiri

Dalam senarai semak perbelanjaan bulanan, anda akan dapati dengan mudah, belanja makan akan menjadi perbelanjaan ketiga paling besar selepas ansuran rumah dan ansuran kenderaan.
Dalam seminggu, rancang lah resipi anda di rumah atau untuk dibekal. Berseronoklah di dapur. Mungkin 20-30 minit sehari ini dapat memanjangkan hayat kewangan peribadi anda hingga 10 tahun lagi.
Makan malam di luar untuk sekeluarga berempat hingga lima orang, mudah sahaja mencapai RM50 semeja. Jika setiap hari dalam sebulan (30 hari) anda makan di luar, senang-senang jumlahnya mencecah RM1500.
Jika anda makan di luar setiap minggu kerja (20 hari), jumlahnya RM1000. Jika 2 hari seminggu (8 hari) anda makan di luar, jumlahnya sudah RM400. Besar-besar angkanya bukan? Belum dicampur belanja makan semasa di waktu pejabat lagi. Aduh!
Dengan masak sendiri, RM50 boleh guna untuk makan seminggu. Sebulan dianggarkan serendah RM200 sahaja. ‘Cheat day’ sekali sekala tidak lah salah 😀

5. Guna ‘reminder ‘ dan kalendar telefon bimbit

Kecuaian banyak kosnya. Ada sesetengah urusan yang melibatkan duit amat perlu diperingatkan. Contohnya ansuran tetap, bil-bil dan caj-caj tertentu.
Di rumah kita sudah tentu ada perkara yang perlu ditukar. Yang rosak perlu dibaiki. Contohnya paip atau sinki yang tersumbat boleh melibatkan kos yang besar jika lambat dibetulkan.
Perkara kecil ini kosnya kecil jika dibetulkan awal. Selain paip contoh lain ialah kerosakan barang elektrik, kerosakan bumbung, kerosakan tandas dan kerosakan tingkap. Kosnya besar.
Pernah kah anda dengar kos menggantikan ‘gear box’ dan ‘compressor’ penghawa dingin kereta? Atau adakah anda tahu, berapa harga menggantikan empat tayar kereta anda jika tiba-tiba ianya koyak. Apa lagi jika terkena rim dan merosakkan jajaran. Aduh!
Apa kata tuliskan peringatan itu. Atau setkan sahaja pada ‘reminder’ dan di kalendar telefon bimbit anda. Mudah dan kecil. Tetapi ia bisa menyelamatkan kebakaran poket yang serius!
Oh, jangan lupa set ‘reminder’ dan di kalendar hari menyimpan wajib 10% itu. Jangan set hari gaji sahaja 😉

6. Rancang untuk cuti

Sudah kerja penat-penat, mestilah tuan dan cikpuan mahu bercuti. Musim cuti setiap tahun sudah dijangka masanya. Biasanya sekitar bulan Mac, Mei-Jun, September dan Disember. Ataupun ambil sahaja tarikh cuti-cuti perayaan yang banyak di Malaysia ini.
Mungkin jadi begini, bila sampai musim cuti, hati kata mahu, poket kata tak perlu, tapi akhirnya kaki tetap melangkah maju, tuan cikpuan pun alih-alih pergi juga bercuti! Aduh.
Krabi Island
Sudah ramai maklum, bercuti boleh dirancang. Jadual cuti persekolahan boleh diperiksa sejak awal lagi. Tiket penerbangan yang dibeli awal adalah jimat. Hotel yang ditempah awal adalah jimat.
Tiket taman tema yang boleh dibeli awal pakejnya adalah jimat. Buat senarai semak yang lengkap. Baca semula langkah no. 2 dalam artikel ini kembali.
Malah jika baik dan teliti perancangannya, anda mungkin satu hari nanti boleh bercuti dan bangun pagi di Pulau Jeju, Korea Selatan! Terbaik!

7. Tahu diri sendiri

Siapalah yang patut kenal diri sendiri, melainkan diri sendiri ini juga. Kitalah yang tahu kekuatan diri dan kita jugalah yang tahu kelemahan diri kita. Ada di kalangan kita ini seorang penyimpan. Ada yang pemboros. Tak kurang juga ada yang cuai. Nah, sendiri tahu bukan?
Jika kelemahan kita ialah kad ATM, maka kad itulah yang kita kawal. Berikan kepada sesiapa untuk dipegang, mungkin. Ada pula kelemahan dirinya ialah pusat membeli belah. Pilihlah untuk tidak berfikir pun untuk ke sana!
Jika kelemahan kita ialah portal membeli belah online jangan terfikir pun untuk taip url atau google ke sana. Adui! Fokus tuan, fokus untuk bebas kewangan.
Kerja jurujual adalah menjual. Untuk menjual, penting bagi mereka mengetahui kelemahan pelanggan mareka supaya dapat mencari penyelesaian. Mereka akan ambil semua jalan untuk manipulasi semua peluang supaya tuan dan cikpuan akhirnya membeli.
Maka akui diri, kita jenis orang yang bagaimana. Akui kelemahan-kelemahan tertentu, terutamanya yang melibatkan kewangan. Jauhkan diri daripadanya dan mengelaklah seribu daya.
Cermin diri, nilai diri
Kelemahan anda sebaliknya adalah peluang untuk anda menambah hayat kewangan peribadi anda. Jadikan ia modal bertambahnya simpanan anda di dana bebas kewangan anda.
Daripada tiba-tiba terbeli cermin mata hitam berjenama atau kasut tumit tinggi di Laxxxx atau di Zaxxxx, lebih baik tambah simpanan jangka masa panjang atau simpanan perbelanjaan khas.
Saya mendoakan 7 tip berjimat untuk membantu anda untuk berjimat dan kawal aliran tunai (cashflow) peribadi. Belum buat belum tahu, sudah buat senyum selalu. Sediakan payung sebelum hujan. Supaya dengan itu, baju tak basah, badan tak demam. Angkat tangan siapa setuju! \o

Ingat apa tujuan kita lakukan perkara ini, untuk menambah aliran tunai. Aliran tunai lebih, boleh simpan lebih! Bila simpan lebih, lebih dekat tuan mencapai bebas kewangan. Lebih cepat, lebih baik. Bila? Tuan tentukan. 😉

2 comments:

  1. blog yg menarik ttapi tidak ssuai dgn dengan template api yang sungguh hodoh...... hihihihihihih.......

    ReplyDelete
  2. Info cara berjimat yg sungguh brguna dan "WOW" !!!!!!(hEBAT LAH saNGATTTT)

    ReplyDelete